Saturday 28 July 2012

Kelebihan memberi makan kepada orang yang berpuasa..


Menjamu Orang Berbuka Puasa
Kisah Berbuka Puasa di Majid Nabi, Madinah 
Seorang mahasiswa universiti memasuki Masjid Nabi di Madinah ketika hampir waktu berbuka puasa. Ketika mula masuk ke perkarangan masjid, telah ada budak kecil yang memegang tangan lelaki ini.
Anak kecil ini mengajak pemuda ini berbuka di tempatnya. Dia terus memimpin tangan lelaki ini hingga ke dalam masjid. Ketika melalui laman-laman Masjid an-Nabawi, kelihatan orang ramai duduk dihadapan hidangan yang disediakan.
Ada juga orang yang berdiri sambil memegang bekas berisi kurma dan tisu, barangkali, golongan ini tidak mampu untuk menaja berbuka puasa, tetapi ingin mengambil kelebihan memberi orang berbuka, jadi, walaupun hanya mampu memberikan sedikit kurma, mereka berusaha juga berbuat amalan yang mulia ini.
Ketika melangkah masuk ke dalam Masjid an-Nabawi, di tengah jalan untuk ke tempat budak kecil ini, ramai yang menyapa dan memegang tangan mahasiswa ini untuk mengajak berbuka di tempatnya.
Ia seperti di pasar yang para penjual ingin menarik perhatian pembeli untuk membeli barangan mereka.
Begitulah kesungguhan orang-orang yang memahami kelebihan memberi makan orang yang berpuasa. “Sesungguhnya amal yang dilakukan pada bulan Ramadhan ialah membaca Al-Qur’an dan menjamu orang berbuka puasa”, demikian dinyatakan oleh seorang sarjana Islam generasi tabi’in, Muhammad bin Syihab az-Zuhri.
Antara amal kebajikan yang mendapat ganjaran besar dalam Islam ialah memberi makan kepada orang Islam yang lain. Dan ganjaran ini berlipat-kali ganda apabila orang yang diberi makan itu ialah orang-orang yang lapar dan berpuasa. Ini dijelaskan oleh Nabi,
“Seorang mukmin yang memberi makan mukmin yang lapar, kelak Allah akan memberi makan kepadanya daripada buah-buahan syurga, dan barang siapa yang memberi minum seorang mukmin, maka kelak Allah akan memberi air minum dari syurga” (Hadis Tirmidzi)
Manakala ganjaran memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa adalah sama dengan ganjaran yang diperoleh orang-orang yang berpuasa itu sendiri. Nabi pernah berkata,
“Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Hadis Tirmidzi, Ahmad & An-Nasa’i)
Demikianlah Nabi membuat perbandingan, sedang Allah menyebutkan orang yang berpuasa diberi ganjaran yang banyak tanpa batas seperti disebutkan dalam sebuah hadis Qudsi,
Semua amal (saleh yang dikerjakan) manusia dilipatgandakan (pahalanya), satu kebaikan (diberi ganjaran) sepuluh sampai tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman: “Kecuali puasa (ganjarannya tidak terbatas), karena sesungguhnya puasa itu (khusus) untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran (kebaikan) baginya.”(Hadis Bukhari & Muslim)
Selain mendapat ganjaran pahala yang banyak, Malaikat akan mendoakan rahmat buat orang yang menjamu orang berbuka puasa. Ini disebutkan oleh Nabi dalam satu doa beliau,
“Orang yang berpuasa telah berbuka di sisi kalian, makanan kalian telah di makan oleh orang-orang yang baik. Kalian telah dipohoni rahmat oleh Malaikat.” (Sahih Sunan Abu Dawud)
Adab Memenuhi Undangan Berbuka Puasa
Memenuhi undangan majlis makan hukumnya wajib, melainkan atas sebab-sebab yang tidka dapat dielakkan. Hal ini tidak hanya semata-mata berkaitan dengan undangan majlis perkahwinan.
Hatta jika seseorang itu berpuasa sunat, Nabi tetap juga memerintahkan seseorang itu berbuka puasa untuk meraikan jemputan.
Syaikh Salim Eid Hilali menjelaskan dalam bukunya Sifat Shoum Nabi fi Ramadhan (Meneladani Puasa Rasulullah), bahawa jika seorang Islam yang berpuasa dijemput untuk berbuka puasa, hendaklah dia memenuhinya. Sebab, orang yang tidak mahu memenuhi undangan berertidia telah mendurhakai perintah Nabi Muhammad.
Disunnahkan juga mendoakan orang yang memberi makan berbuka puasa. Antara doa-da yang diajarkan oleh Nabi ialah :
“Orang-orang yang baik telah memakan makanan kalian, para Malaikat telah berselawat kepada kalian. Dan orang-orang yang berpuasa pun telah berbuka di tempat kalian.” (Hadis Muslim)
“Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan berilah minum orang yang memberiku minum” (Hadis Muslim)
“Ya Allah, ampuni mereka dan rahmati mereka, berkati pada seluruh rezeki yang Engkau berikan” (Hadis Muslim)

No comments:

Post a Comment